Hari dan minggu berlalu begitu cepat, tanpa disedari kini
kita sudah pun berada di sepuluh terakhir Ramadhan. Maka tempoh terakhir ini
adalah masa bernilai dan berharga yang perlu direbut oleh kita semua. Masa yang
terakhir inilah yang akan menentukan samada puasa kita ini mendapat keberkatan
dan menjadi penebus segala kesalahan dan dosa yang telah kita lakukan selama
ini. Inilah masanya yang Allah SWT janjikan kepada kita semua sekiranya kita
benar-benar beriman kepada-Nya sebagaimana Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “
Bulan Ramadhan ialah bulan yang awalnya di penuhi rahmat,
pertengahannya di penuhi dengan keampunan dan akhirnya di
penuhi dengan pahala yang menjadi penebus api neraka”. (Riwayat Muslim)
Amatlah malang bagi seseorang yang
berpeluang berada dalam bulan Ramadan dari awal hingga akhir, tetapi tidak
mendapat pengampunan Allah sepertimana yang dinyatakan dalam hadis Nabi s.a.w.
أتاني جبريل ، فقال : يا محمد ، من أدرك رمضان
فلم يُغْفَر له ، فأَبْعَدَهُ الله
Maksudnya : Telah datang kepadaku Jibril lalu berkata : sesiapa yang menemui
ramadan , tetapi tidak mendapat keampunan Allah maka dia akan semakin jauh
dengan Allah ( Sahih Ibn. Hibban)
Segala tawaran telah
diberikan oleh Allah, Syaitan dirantai, pintu syurga dibuka seluas-luasnya,
pintu neraka ditutup, pahala kebajikan digandakan dengan begitu lumayan sekali,
adanya lailatul Qadar dan lain-lain tawaran lagi. Walaupun tawaran hebat ini
diberi selama sebulan, Namun dinyatakan masih ada manusia yang tidak diampunkan oleh Allah. Kenapa perkara ini
boleh berlaku ? Apakan sebab-sebabnya? Bagaimana mengatasinya ? Inilah
persoalan yang mesti kita fikirkan sebelum Ramadan melabuhkan tirainya,
meninggalkan kita.
Muslimin sidang Jumaat yang dirahmati
Allah.
Diantara sebab yang dapat dinyatakan di
sini ialah kebanyakan kita hanya menjaga puasa dari segi sah batal sahaja. Maka
timbullah persoalan. Sahkan puasa seseorang yang tidak solat ?. Sahkah puasa
orang yang tidak menutup aurat ?. Sahkah puasa orang yang mengumpat?. Sahkah
puasa orang yang rasuah?. Sahkan puasa orang yang itu dan ini.... Maka hukum fikah menjawab
sekiranya memenuhi syarat dan rukunnya, tidak melakukan perkara yang membatalkan
puasa, maka sahlah puasa itu. Persoalannya apakah kalau sah puasa bermakna
puasa itu diterima Allah ?
Walaupun kita tidak tahu sama ada Allah
menerima amalan kita atau sebaliknya
(kerana itu adalah rahsia Allah) namun dalam hal ini kita telah diberi panduan
oleh rasulullah melalui hadith-hadith baginda s.a.w. mengenai puasa yang
diterima Allah, antaranya saranan Nabi s.a.w.
Puasa hendaklah dilakukan dengan penuh
keimanan dan pengharapan seperti yang disebut dalam hadis :
من قام رمضان إيمانا واحتسابا غفر
له ما تقدم من ذنبه
Maksudnya: “Barangsiapa
yang menegakkan Ramadhan (dengan amal kebaikan) dengan penuh keimanan
dan pengharapan nescaya diampunkan baginya segala dosa yang
terdahulu”(Riwayat Bukhari)
Apakah maksud ( إيمانا واحتسابا ). Ibnu hajar Al Asqolani dalam Fathul Bari
menyatakan
المراد
بالإيمان: الاعتقاد بفرضية صومه. وبالاحتساب: طلب الثواب من الله تعالى
Yang
dimaksudkan dengan iman dalam hadis ini ialah beriktiqad dengan kefarduan puasa
dan makna ihtisaban ialah melakukannya
semata-mata kerana Allah.
Ini bermakna puasa
bukan adat, ia adalah ibadat. Sesuatu amal tidak akan diterima Allah sebagai
ibadat sekiranya ibadat asas lain tidak ditunaikan seperti solat. Selain itu Ibadat puasa hendaklah dilaksanakan dengan penuh ikhlas kerana Allah
s.w.t.
Jesteru, kita harus
bertanya diri kita masing-masing apakah solat 5 waktu kita telah ditegakkan
sepenuhnya? Solat adalah ibadat utama
dalam Islam, ia adalah tiang agama, ia adalah amalan pertama yang akan dihisab dihadapan Allah,
ia adalah ibadat yang membezakan orang beriman dengan kafir, ia adalah ibadat
yang sekiranya ditinggalkan dengan ingkar boleh dihukum bunuh. Apakah ibadat
sepenting ini boleh ditinggalkan lalu kita berhempas pulas menahan lapar dan
dahaga selama berjam-jam untuk berpuasa?
Sabda Nabi s.a.w.
رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ وَرُبَّ
قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ
Maksudnya : Ramai
di kalangan orang berpuasa yang mana dia
tidak mendapat apa-apa melaikan lapar dan ramai yang
melaksanakan ibadat malam dan dia tidak mendapat apa-apa melainkan semata-mat
berjaga ( Sunan Ibnu Majah)
2. Puasa yang diterima ialah puasa yang
menjaga seluruh pancaindera daripada perkara
Haram. Sabda Nabi
s.a.w.
من لم يدع قول الزور والعمل به فليس لله حاجة في أن يدع طعامه
وشرابه
Maksudnya
: “Sesiapa yang tidak meninggalkan
perkataan dusta dan melakukan perbuatan itu terus menerus, Allah langsung tidak
berhajat (memandang) perbuatannya yang meninggalkan makan dan minum (puasa).” – Hadis riwayat
al-Bukhari
3. Puasa yang diterima dan mendapat
pengampunan Allah ialah puasa orang yang meninggalkan dosa-dosa besar
Para Ulamak
menyatakan :
أنه لا تُكفَّر سوى الصغائر. وأما الكبائر فلابد لها
من التوبة،
Maksudnya : Puasa
tidak membersihkan melainkan dosa-dosa kecil, manakala dosa-dosa besar mestilah
dengan bertaubat.
Ibnu Abdul Bar
menyatakan dalam kitabnya At tamhid ( إجماع المسلمين على ذلك) berlaku kesepakatan ulamak menyatakan bahawa dosa-dosa yang
diampunkan Allah ialah dosa-dosa kecil. Dosa besar hendaklah dengan bertaubat. Mereka mengambil dalil dari hadis berikut :
Sabda Nabi s.a.w.
الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ وَالْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ وَرَمَضَانُ إِلَى
رَمَضَانَ مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ
Maksudnya : Solat 5 waktu, Jumaat kepada Jumaat dan
Ramadan
kepada Ramadan yang berikutnya menyucikan dosa antara keduannya
sekiranya dijauhi dosa-dosa besar.
[ riwayat Muslim]
Jesteru, untuk
memastikan dosa-dosa kecil kita diampun , amal ibadat kita mendapat gandaan
pahala, kita mestilah bertaubat kepada Allah di atas segala dosa-dosa besar
kita dengan taubat yang sebenar. Kita mesti meninggalkan dosa-dosa tersebut
dengan segera bertaubat kepada Allah, menyesal di atas kesilapan kita dan
berjanji tidak akan mengulanginya. Sekiranya melibatkan hak orang lain maka
hendaklah dipulangkan kembali.
Muslimin…
Berdasarkan
pemerhatian mimbar, dalam bab ibadat,
diantara dosa-dosa besar yang dilakukan oleh umat Islam dalam masyarakat
kita ialah meninggalkan solat. Meninggalkan solat seperti yang disebut sebentar
tadi adalah dosa yang paling besar selain syirik kepada Allah. Ramai di
kalangan umat Islam yang puasa tetapi tidak solat .
Dalam bidang
muamalat masih ada di kalangan kita yang terlibat dalam muamalat riba. Ini
berlaku melalui berbagai bentuk pinjaman yang ditawarkan, pinjaman melalui
ahlong, skim insuran, skim cepat kaya, kad kredit konvensional, pelaburan
internet dan berbagai-bagai produk lagi. Semua muamalat ini adalah berasaskan
riba. Satu dosa besar yang diisytiharkan perang oleh Allah seperti yang
dinyatakan dalam firmanNya :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَذَرُوا
مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ (278) فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا
فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ …. الخ -
البقرة 278-279
Maksudnya : Wahai
orang-orang yang beriman bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggallah saki baki
riba itu, jika kamu orang-orang beriman. Jika kamu tidak berhenti daripada
riba, maka ketahuilah kamu, akan ada peperangan dari Allah dan rasulnya.
Di sini jelas menggambarkan kepada kita bahawa keluar daripada
dosa-dosa besar itu adalah keutamaan yang mesti kita lakukan bebanding
ibadat-ibadat sunat yang lain untuk mendapat rahmat Ramadan.
Antara kesalahan-kesalahn lain yang berlaku dalam masyarakat
kita ialah kecuaian dalam pendidikan anak-anak ( يايهالذين آمنوا قوا
أنفسكم وأهليكم نارا ),
kecuaian dalam hal berkaitan harta pesaka, yang menyebabkan seseorang itu boleh
terjebak dengan dosa besar iaitu memakan harta orang lain dengan cara yang
batil ( لاتأكلوا
أموالكم بينكم بالباطل ). Ada juga dosa besar yang melibatkankan
harta anak yatim (
أكل مالِ اليتيم ). Ada
juga dosa besar yang melibatkan tuduhan palsu ke atas orang-orang yang baik
( رمي المحصنات )
dan lain-lain lagi.
Apakah penyelesaian kepada masalah ini dalam suasana kita
berada dipenghujung Ramadan ini?
Sebagai agama
rahmat kepada sekelian alam, penyelesaiannya tetap ada. Kepada mereka yang
terlibat, teruskan ibadat puasa disamping itu bertaubatkah kepada Allah di
atas kesalahan kita meninggalkan solat. Lakukan qada solat secara konsisten,
tingkatkan kebajikan kita untuk kepentingan agama Allah. Kalau melibatkan
muamalat riba, tukarkanlah kepada system kewangan Islam yang bebas riba yang
banyak ditawarkan dalam system kewangan Negara kita. Kalau melibatkan hak orang
lain kembalikanlah semula kepadanya. Kalau tidak dapat dilaksanakan dengan
segera, tanamlah keazaman, mulakan langkah di akhir Ramadan ini dengan usaha
yang bersungguh-sungguh untuk keluar daripada
kemurkaan Allah s.w.t. Mudah-mudahan dengan itu kita tetap mendapat keampunan
Allah.. Insya Allah.