Friday 10 August 2012

Khutbah: Muhasabah Sebelum Berakhir Ramadan



Hari dan minggu berlalu begitu cepat, tanpa disedari kini kita sudah pun berada di sepuluh terakhir Ramadhan. Maka tempoh terakhir ini adalah masa bernilai dan berharga yang perlu direbut oleh kita semua. Masa yang terakhir inilah yang akan menentukan samada puasa kita ini mendapat keberkatan dan menjadi penebus segala kesalahan dan dosa yang telah kita lakukan selama ini. Inilah masanya yang Allah SWT janjikan kepada kita semua sekiranya kita benar-benar beriman kepada-Nya sebagaimana Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya:      Bulan Ramadhan   ialah bulan yang awalnya di penuhi rahmat,
pertengahannya di penuhi dengan keampunan dan akhirnya di penuhi dengan pahala yang menjadi penebus api neraka”. (Riwayat Muslim)

Amatlah malang bagi seseorang yang berpeluang berada dalam bulan Ramadan dari awal hingga akhir, tetapi tidak mendapat pengampunan Allah sepertimana yang dinyatakan dalam hadis Nabi s.a.w.

أتاني جبريل ، فقال : يا محمد ، من أدرك رمضان فلم يُغْفَر له ، فأَبْعَدَهُ الله
Maksudnya :     Telah datang kepadaku Jibril lalu berkata : sesiapa yang menemui ramadan , tetapi tidak mendapat keampunan Allah maka dia akan semakin jauh dengan Allah ( Sahih Ibn. Hibban)

Segala tawaran   telah diberikan oleh Allah, Syaitan dirantai, pintu syurga dibuka seluas-luasnya, pintu neraka ditutup, pahala kebajikan digandakan dengan begitu lumayan sekali, adanya lailatul Qadar dan lain-lain tawaran lagi. Walaupun tawaran hebat ini diberi selama sebulan, Namun dinyatakan masih ada manusia yang tidak  diampunkan oleh Allah. Kenapa perkara ini boleh berlaku ? Apakan sebab-sebabnya? Bagaimana mengatasinya ? Inilah persoalan yang mesti kita fikirkan sebelum Ramadan melabuhkan tirainya, meninggalkan kita.

Muslimin sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Diantara sebab yang dapat dinyatakan di sini ialah kebanyakan kita hanya menjaga puasa dari segi sah batal sahaja. Maka timbullah persoalan. Sahkan puasa seseorang yang tidak solat ?. Sahkah puasa orang yang tidak menutup aurat ?. Sahkah puasa orang yang mengumpat?. Sahkah puasa orang yang rasuah?. Sahkan puasa orang yang  itu dan ini.... Maka hukum fikah menjawab sekiranya memenuhi syarat dan rukunnya, tidak melakukan perkara yang membatalkan puasa, maka sahlah puasa itu. Persoalannya apakah kalau sah puasa bermakna puasa itu diterima Allah ?  


Walaupun kita tidak tahu sama ada Allah menerima  amalan kita atau sebaliknya (kerana itu adalah rahsia Allah) namun dalam hal ini kita telah diberi panduan oleh rasulullah melalui hadith-hadith baginda s.a.w. mengenai puasa yang diterima Allah,  antaranya saranan  Nabi s.a.w.

Puasa hendaklah dilakukan dengan penuh keimanan dan pengharapan seperti yang disebut dalam hadis :

من قام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه
Maksudnya:      “Barangsiapa yang menegakkan Ramadhan (dengan amal kebaikan) dengan penuh  keimanan  dan pengharapan nescaya diampunkan baginya segala dosa yang terdahulu”(Riwayat Bukhari)

Apakah maksud (  إيمانا واحتسابا  ). Ibnu hajar Al Asqolani dalam Fathul Bari menyatakan
المراد بالإيمان: الاعتقاد بفرضية صومه. وبالاحتساب: طلب الثواب من الله تعالى
Yang dimaksudkan dengan iman dalam hadis ini ialah beriktiqad dengan kefarduan puasa dan makna ihtisaban  ialah melakukannya semata-mata kerana Allah.

Ini bermakna puasa bukan adat, ia adalah ibadat. Sesuatu amal tidak akan diterima Allah sebagai ibadat sekiranya ibadat asas lain tidak ditunaikan seperti  solat. Selain itu Ibadat puasa hendaklah  dilaksanakan dengan penuh ikhlas kerana Allah s.w.t.

Jesteru, kita harus bertanya diri kita masing-masing apakah solat 5 waktu kita telah ditegakkan sepenuhnya?  Solat adalah ibadat utama dalam Islam, ia adalah tiang agama, ia adalah amalan pertama yang akan dihisab dihadapan Allah, ia adalah ibadat yang membezakan orang beriman dengan kafir, ia adalah ibadat yang sekiranya ditinggalkan dengan ingkar boleh dihukum bunuh. Apakah ibadat sepenting ini boleh ditinggalkan lalu kita berhempas pulas menahan lapar dan dahaga selama berjam-jam  untuk berpuasa?

Sabda Nabi s.a.w.
رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ

Maksudnya :     Ramai di kalangan orang berpuasa yang  mana dia tidak   mendapat apa-apa melaikan lapar dan ramai yang melaksanakan ibadat malam dan dia tidak mendapat apa-apa melainkan semata-mat berjaga ( Sunan Ibnu Majah)



2.         Puasa yang diterima ialah puasa yang menjaga seluruh pancaindera daripada perkara  
Haram. Sabda Nabi s.a.w.
من لم يدع قول الزور والعمل به فليس لله حاجة في أن يدع طعامه وشرابه
Maksudnya :     “Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan melakukan perbuatan itu terus menerus, Allah langsung tidak berhajat (memandang) perbuatannya yang meninggalkan makan dan minum (puasa).” – Hadis riwayat al-Bukhari





3.         Puasa yang diterima dan mendapat pengampunan Allah ialah puasa orang yang meninggalkan dosa-dosa besar

Para Ulamak menyatakan :
أنه لا تُكفَّر سوى الصغائر. وأما الكبائر فلابد لها من التوبة،
Maksudnya :     Puasa tidak membersihkan melainkan dosa-dosa kecil, manakala dosa-dosa besar mestilah dengan bertaubat.
Ibnu Abdul Bar menyatakan dalam kitabnya At tamhid (   إجماع المسلمين على ذلك) berlaku kesepakatan ulamak menyatakan bahawa dosa-dosa yang diampunkan Allah ialah dosa-dosa kecil. Dosa besar hendaklah dengan bertaubat.  Mereka mengambil dalil dari hadis berikut :
Sabda Nabi s.a.w.

الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ وَالْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ   
Maksudnya :     Solat 5 waktu, Jumaat kepada Jumaat dan Ramadan
kepada Ramadan yang berikutnya menyucikan dosa antara keduannya sekiranya dijauhi dosa-dosa besar.
[ riwayat Muslim]
Jesteru, untuk memastikan dosa-dosa kecil kita diampun , amal ibadat kita mendapat gandaan pahala, kita mestilah bertaubat kepada Allah di atas segala dosa-dosa besar kita dengan taubat yang sebenar. Kita mesti meninggalkan dosa-dosa tersebut dengan segera bertaubat kepada Allah, menyesal di atas kesilapan kita dan berjanji tidak akan mengulanginya. Sekiranya melibatkan hak orang lain maka hendaklah dipulangkan kembali.
Muslimin…
Berdasarkan pemerhatian mimbar, dalam bab ibadat,  diantara dosa-dosa besar yang dilakukan oleh umat Islam dalam masyarakat kita ialah meninggalkan solat. Meninggalkan solat seperti yang disebut sebentar tadi adalah dosa yang paling besar selain syirik kepada Allah. Ramai di kalangan umat Islam yang puasa tetapi tidak   solat .
Dalam bidang muamalat masih ada di kalangan kita yang terlibat dalam muamalat riba. Ini berlaku melalui berbagai bentuk pinjaman yang ditawarkan, pinjaman melalui ahlong, skim insuran, skim cepat kaya, kad kredit konvensional, pelaburan internet dan berbagai-bagai produk lagi. Semua muamalat ini adalah berasaskan riba. Satu dosa besar yang diisytiharkan perang oleh Allah seperti yang dinyatakan dalam firmanNya :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ (278) فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ …. الخ  - البقرة 278-279
Maksudnya :     Wahai orang-orang yang beriman bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggallah saki baki riba itu, jika kamu orang-orang beriman. Jika kamu tidak berhenti daripada riba, maka ketahuilah kamu, akan ada peperangan dari Allah dan rasulnya.

Di sini jelas menggambarkan kepada kita bahawa keluar daripada dosa-dosa besar itu adalah keutamaan yang mesti kita lakukan bebanding ibadat-ibadat sunat yang lain untuk mendapat rahmat Ramadan.

Antara kesalahan-kesalahn lain yang berlaku dalam masyarakat kita ialah kecuaian dalam pendidikan anak-anak (   يايهالذين آمنوا قوا أنفسكم وأهليكم نارا ), kecuaian dalam hal berkaitan harta pesaka, yang menyebabkan seseorang itu boleh terjebak dengan dosa besar iaitu memakan harta orang lain dengan cara yang batil (  لاتأكلوا أموالكم بينكم بالباطل  ). Ada juga dosa besar yang melibatkankan harta anak yatim ( أكل مالِ اليتيم ).  Ada juga dosa besar yang melibatkan tuduhan palsu ke atas orang-orang yang baik (  رمي المحصنات  ) dan lain-lain lagi.
            Apakah penyelesaian kepada masalah ini dalam suasana kita berada dipenghujung Ramadan ini?
Sebagai agama rahmat kepada sekelian alam, penyelesaiannya tetap ada. Kepada mereka yang terlibat, teruskan ibadat puasa disamping itu bertaubatkah kepada Allah di atas kesalahan kita meninggalkan solat. Lakukan qada solat secara konsisten, tingkatkan kebajikan kita untuk kepentingan agama Allah. Kalau melibatkan muamalat riba, tukarkanlah kepada system kewangan Islam yang bebas riba yang banyak ditawarkan dalam system kewangan Negara kita. Kalau melibatkan hak orang lain kembalikanlah semula kepadanya. Kalau tidak dapat dilaksanakan dengan segera, tanamlah keazaman, mulakan langkah di akhir Ramadan ini dengan usaha yang   bersungguh-sungguh untuk keluar daripada kemurkaan Allah s.w.t. Mudah-mudahan dengan itu kita tetap mendapat keampunan Allah.. Insya Allah.

Friday 3 August 2012

TATACARA BERPUASA


§  Apabila kita telah masuk malam yang pertama dari bulan Ramadan, berniatlah pada malam itu bahawa kita akan berpuasa esok hari.. Mulai malam itu tegakkanlah tarawih dengan berjamaah

§  Setelah masuk waktu sahur, menjelang waktu subuh, hendaklah bersahur.

§  Sesudah bersahur dengan memelihara adab-adabnya, bersihkanlah mulut dengan sebersih-bersihnya dan nantikanlah waktu subuh.

§  Apabila telah terbit fajar, tahanlah diri dari makan, minum dan dari segala yang membatalkan puasa.

§  Setelah selesai dari solat subuh, bacalah al-Quran seberapa yang dapat.

§  Di siang hari hendaklah dijauhkan diri dari perbuatan-perbuatan yang haram, bahkan hendaklah dijauhkan diri dari pekerjaan – pekerjaan yang makruh dan sia-sia.

§  Usahakanlah supaya segala solat fardhu dapat ditegakkan dengan berjamaah.

§  Sedapat mungkin supaya di tiap-tiap hari sesudah solat zuhur dan asar, disediakan waktu yang tetap untuk membaca al-Quran.

§  Bila matahari telah nyata terbenam, bersegeralah berbuka puasa dengan sedikit makanan yang manis. Sesudah itu tunakan solat maghrib. Sesudah solat maghrib, baru disempurnakan makan dengan dituruti benar-benar adab-adab berbuka.


  • Apabila masuk 10 akhir Ramadan, tambahlah ibadat dengan jalan ber’ktikaf usahakanlah memperoleh “lailatul qadar” yang terletak di salah satu malam dari malam-malam yang ganjil pada 10 akhir Ramadan (dari malam 21 sampai 30, atau dari 20 sampai 29). 

Template by:
Free Blog Templates