Friday 20 May 2011

Solat Kewajipan Utama

Dalam Surah Maryam ayat 59 Allah berfirman :

فَخَلَفَ مِنْ بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلاَة َوَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيَّا

Maksudnya :    Maka datanglah sesudah mereka pengganti yang mengabaikan solat dan mengikut hawa nafsunya. Maka mereka kelak akan menghadapi azab di dalam neraka.

Itulah secebis gambaran Al Quran terhadap golongan manusia yang akan mula melupakan Allah s.w.t. dengan mengabaikan satu tuntutan pengabdian makhluk kepada Khaliqnya. Tuntutan syahadatain ( 2 kalimah syahadah) tidak dijelmakan dengan perlakuan yang disyariatkan Allah. Mereka menjadikan hawa nafsu sebagai ikutan lalu mengabaikan solat fardu yang disyariatkan Allah . Akibatnya mereka dihumbankan Allah ke lembah kehinaan yang tidak ada tolok banding azabnya iaitulah neraka.

Satu kewajipan yang telah diketahui umum yang mempunyai dalil yang jelas daripada Al Quranul karim dan hadith Nabi s.a.w. serta kefarduannya disepakati oleh seluruh ulamak Islam ialah solat. Ungkapan “dirikanlah solat” atau ungkapan yang seumpamanya  diulang-ulang dalam Al Quranul Karim adalah dalil yang diterima dan tidak dipertikaikan ,  samada oleh ulamak Salaf atau Khalaf, kalangan para sahabat dan  imam-imam mujtahidin selepas itu, malah sampai ke zaman kita ini.

Orang yang mendirikan solat dianggap dia telah mendirikan satu asas agama yang utama, kerana ia adalah ibadat utama yang tidak boleh diatasi oleh ibadat-ibadat lain . Ibadat yang difardukan langsung kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. pada malam  Mikraj. Rasulullah s.a.w bersabda :
الصَّلاَةُ عِمَادُ الدِّيْنِ وَمَنْ أَقَامَهَا فَقَدْ أَقَامَ الدِّيْن وَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ هَدَمَ الدِّيْن
Maksudnya :    Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat sesungguhnya dia telah mendidikan agama, dan sesiapa yang meninggalkannya maka sesungguhnya dia telah meruntuhkan agama.

Solat adalah satu kewajipan, selama ruh dikandung badan. Selagi  akal masih siuman . Tidak ada alasan untuk kita meninggalkan solat . Sebab itu dalam Syariat Islam berbagai hukum, peraturan dan kaedah telah ditetapkan bagi mereka yang tidak mampu menunaikan solat dalam keadaan biasa

Bagi memastikan kewajipan ini dilaksanakan oleh umat Islam dalam situasi tertentu maka kita dibolehkan bertayammun. Bagi mereka yang tidak dapat solat secara biasa, dibolehkan mereka melakukan secara sambil duduk berbaring dan sebagainya . Semasa dalam perjalanan diharuskan kita menunaikan solat secara Jamak dan Qasar . Malah dalam suasana perang sekalipun, solat mesti ditunaikan dengan kaifiyyat yang tertentu.

Solat menjadi amalan pertama sekali yang akan dihisab oleh Allah s.w.t. Kesempurnaan solat yang ditunaikan akan menyelamatkan amalan-amalan kebaikan yang lain daripada ditolak begitu sahaja. Segala penat lelah semasa di dunia menjadi sia-sia . Begitulah besarnya kewajipan solat berbanding amalan-amalan lain. Rasulullah s.a.w bersabda :

أوَّلُ مَا يُحَاسَبُ بِهِ العَبْدُ يَوْمَ القِيَامَةِ الصَّلاَة، فَإِنْ صَلَحَتْ صَلَحَ سَائِرُ عَمَلِهِ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَسَدَ سَائِرُ عَمَلِهِ
Maksudnya :    Perkara pertama yang akan dihisab ke atas seseorang pada hari qiamat ialah solat. Apabila baik solatnya maka baiklah seluruh amalannya. Dan jika rosak maka rosaklah segala amalannya.
(HR. Tobarani)
            Solat yang sempurna dapat menjadi penangkis yang paling berkesan  menghindarkan seseorang daripada terjerumus ke lembah  maksiat dan mungkar . Solat yang didirikan dengan penuh keimanan dan ketaqwaan akan merubah personaliti seseorang menjadi insan yang tunduk kepada perintah Allah dan takut melakukan sebarang penyelewengan dalam kehidupan di dunia ini. Solat yang seumpama ini mampu menjadi ubat yang paling mujarab menyembuhkan berbagai penyakit sosial yang melanda umat pada hari ini.Firman Allah dalam Surah Al-Ankabut : 45

أَقِمِ الصَّلاَةَ إِنَّ الصَّلاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ

Maksudnya :    Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mencegah kamu daripada keburukan dan kemungkaran.


Friday 13 May 2011

Kebenaran : Sebab-sebab Manusia Menolaknya

Al haq atau kebenaran adalah satu perkara suci yang mesti zahir di dalam kehidupan kita. Seandainya ia tersembunyi atau disembunyikan, maka akan berlakulah berbagai-bagai bentuk kerosakan, kepincangan, penyelewengan dan sebagainya. Lawan kepada al haq ialah al batil atau kebatilan. Kebenaran tidak akan zahir, kebenaran tidak akan dapat dilihat dan dirasai kebaikannya jika kebatilan sudah meluas. Kebenaran tidak akan dapat dilihat dan dirasai kenikmatannya  jika kebatilan mendominasi suasana.  Semua ini bergantung kepada kita manusia yang diamanahkan Allah menjadi khalifahNya atau penggantiNya di muka buni ini. Adakah kita benar-benar mendokong kebenaran atau mendokong kebatilah atau mencampuradukkan kebenaran dan kebatilan.

Ada beberapa sebab manusia menolak kebenaran antaranya :

Pertama :        Kerana sifat Takbur atau sombong. Walaupun seseorang itu mengetahui dan mengakui kebenaran itu, namun ia menolak kebenaran itu kerana sifat buruk ini telah menguasai hati dan dirinya. Ini dinyatakan dengan jelas oleh Allah di dalam al-Quran menceritakan sebab keengganan Iblis L.A untuk sujud kepada Adam setelah diciptanya Adam a.s.
Maksudnya :    Dan (Ingatlah) ketika kami berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah[36] kamu kepada Adam," Maka sujudlah mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takabur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir.

Kedua :           Manusia menolak kebenaran ialah kerana mengikut ibu bapa mereka dan datuk nenek mereka yang lalu. Inilah yang berlaku kepada musyrikin Makkah apabila Rasulullah menyeru mereka kepada ajaran Islam. Mereka menolak dakwah Rasulullah itu kerana merasakan apa yang mereka warisi daripada datuk nenek mereka itu sudah baik dan mencukupi. Allah rakamkan keengganan mereka ini dalam surah Al Maidah ayat 104, FirmanNya
Maksudnya :    Apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah mengikuti apa yang  diturunkan Allah dan mengikuti Rasul”. Mereka menjawab: “Cukuplah untuk kami apa yang kami dapati daripada bapak-bapak kami  ”. Dan apakah mereka itu akan mengikuti nenek moyang mereka walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui apa-apa dan tidak (pula) mendapat petunjuk?.


Ketiga :           Kerana mengikut seseorang samada orang biasa atau pemimpin  yang menyesatkan. Peranan wahyu dan akal yang dikurniakan Allah diketepikan.
Allah nyatakan suasana yang akan berlaku antara pengikut dengan orang-orang yang dikuti  atau ketua mereka pada hari akhirat kelak. Masing-masing menyalahkan antara satu sama lain. Masing-masing melepas diri antara satu sama lain. Namun kedua-dua pihak ini tidak akan terlepas dari azab Allah dan nerakanya. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah 166-167


166.  (iaitu) ketika orang-orang yang diikuti itu berlepas diri dari orang-orang yang mengikutinya, dan mereka melihat siksa; dan (ketika) segala hubungan antara mereka terputus sama sekali.
167.  Dan berkatalah orang-orang yang mengikuti: "Seandainya kami dapat kembali (ke dunia), pasti kami akan berlepas diri dari mereka,pasti kami tidak akan mengikut mereka, sebagaimana mereka berlepas diri dari kami." Demikianlah Allah memperlihatkan kepada mereka amal perbuatannya menjadi sesalan bagi mereka; dan sekali-kali mereka tidak akan keluar dari api neraka.


Keempat :       Kerana takut hilang pengaruh. Ada golongan yang tidak mahu menonjolkan kebenaran  atau dengan kata lain mereka menyembunyikan kebenaran lantaran takut hilang pengaruh atau hilang kedudukan yang dikecapi selama ini. Sikap ini pernah berlaku kepada pembesar-pembesar  dan ulamak yahudi  dan Nasrani yang menyembunyikan kebenaran pengutusan Nabi Muhammad sebagai Khatamul Anbiya’ Rasul yang terakhir. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah 146          
t Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Telah kami beri Al Kitab (Taurat dan Injil) mengenal Muhammad seperti mereka mengenal anak-anaknya sendiri[97]. dan Sesungguhnya sebahagian diantara mereka menyembunyikan kebenaran, padahal mereka Mengetahui.


Inilah antara lain sebab-sebab manusia menolak kebenaran seperti yang dinyatakan dalam Al-Quran. Sesungguhnya Al-Quran adalah kitab mukjizat sepanjang zaman. Hakikat yang dinyatakan Allah bukanlah menjadi sejarah untuk dibaca sahaja, tetapi ia menjadi sejarah yang akan berulang dan manusia wajib mengambil pelajaran dan iktibar.

Kebenaran mesti menjadi agenda semua. Ia wajib didokong dan disokong. Kita tidak boleh memberikan tempat kepada  hawa nafsu dan keinginan sementara kita dengan menolak kebenaran. Sekiranya ini berlaku ingatlah amaran Allah dalam firmanNya dalam sural al-Mukminum :
“Andaikata kebenaran itu menuruti hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi ini, dan semua yang ada di dalamnya.

Saturday 7 May 2011

Taqwa : Tuntutan Sepanjang Zaman

Firman Allah : “Wahai orang-orang yang beriman bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa”.

                Inilah tuntutan yang saban minggu dilaungkan melalui mimbar Jumaat . Seruan kepada taqwa menjadi satu rukun dalam khutbah Jumaat. Ini bermakna ia sangat penting dalam membina umat yang berjaya dan seterusnya mendapat kebaikan (hasanah) di dunia seterusnya mengecapi kebaikan di akhirat.

                Allah s.w.t. telah mengumpulkan dalam sifat ini segala kebaikan dunia dan akhirat Diantara kesan yang akan kita perolehi dengan menghayati sifat taqwa ini ialah :

  •    Mendapat pemeliharan Allah. Allah sentiasa bersama-sama orang yang bertaqwa. Firman Allah yang bermaksud : ”Bertakwalah kamu kepada Allah dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah bersama orang yang bertaqwa” AlBaqarah 194
  •     Kemampuan membezakan yang baik dengan yang buruk, menjadi penebus segala kesalahan dan mendapat keampunan Allah. Maksud Firman Allah :”Wahai orang-orang yang berimansekiranya kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia(Allah) akan mengurniakan kamu pengenalan  untuk membeza ( antara yang benar dan yang salah) dan dihapuskannya segala kesalahan dan diampunkan segala dosa dan Allah mempunyai kelebihan yang besar.
  •     Mendapat keselamatan daripada api neraka. Firman Allah s.w.t. yang maksudnya :” Dan tiada seorangpun daripada kamu melainkan akan melaluinya (api neraka). Itulah keputusan Tuhanmu yang tidak dapat dihindarkan, lalu kami selamatkan orang-orang yang bertaqwa. Maryam 71-72.

  •     Terpelihara daripada tekanan hidup dan rezeki sentiasa melimpah ruah.. Firman Allah yang bermaksud : ”Sesiapa yag bertaqwa kepada Allah nescaya Allah akan menjadikan baginya jalan keluar (daripada kesulitan) dan Dia (Allah) akan memberikan rezeki dari sumberyang tidak diduga”. AlTolaq 2-3.

·  Dijanjikan dengan syurga. Firman Allah yang bermaksud :” Itulah syurga yang Kami hendak pesakakan kepada hamba-hamba Kami yang bertaqwa”.  Maryam : 63

·  Mendapat kemuliaan di dunia dan akhirat. Maksud Firman Allah : ” Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu di sisi Allah ialah mereka yang lebih bertaqwa”. AlHujurat : 13.

                Inilah diantara kebaikan yang kita akan dapat sekiranya kita meghayati tuntutan taqwa. Sebab itu seruan kepada bertaqwa kepada Allah bukan sahaja menjadi perkara utama dalam ajaran yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. malah menjadi wasiat yang juga telah dilaksanakan oleh para nabi dan rasul yang terdahulu. Firman Allah yang bermaksud :”Dan Kami telah perintahkan kepad orang-orang yang diberikan kitab sebelum kamu dan juga kepada kamu supaya bertaqwa kepada Allah."

Template by:
Free Blog Templates