الحمد لله رب العالمين
والعاقبة للمتقين ولا عدوان إلا على الظالمين.
أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ
إِلاَّ الله ُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْـكَ لَه. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا
مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ
صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوا اللهَ أُوْصِيْكُمْ وَنَفْسِى بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ
لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ.
Sidang
Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri saya dan
juga para jemaah sekalian agar kita benar-benar bertakwa kepada Allah SWT
dengan menjunjung segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga
dengan itu kehidupan kita sentiasa di bawah lindungan Allah SWT.
Sidang
Jemaah Yang di Rahmati Allah,
Beberapa hari yang lalu kita
diperlihatkan dengan kuasa Allah SWT yang Maha Agung iaitu kejadian jerebu. Fenomena
ini berlaku disebabkan oleh zarah terampai di dalam atmosfera pada kepekatan
yang tinggi sehingga menjejaskan kualiti udara. Begitulah kehebatan
kekuasaan Allah SWT yang mampu mengubah segalanya pada bila-bila masa yang
tidak ada satu kuasa lain yang dapat menyekat Qada’ dan Qadar Allah SWT. Firman
Allah SWT di dalam surah Yasin ayat 82:

Maksudnya: “Sesungguhnya kekuasaan-Nya apabila Ia
menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada benda itu: Jadilah
engkau! Maka jadilah ia.”.
Oleh itu
jika berlaku kejadian jerebu, ianya bukanlah merupakan suatu tanda akan timbul
kejadian yang aneh dan mengkhuatirkan, tetapi ianya berlaku atas sifat wajib
bagi Allah SWT iaitu berkehendak dan berkuasa atas segala sesuatu yang tidak
dapat dihalang oleh apa jua kekuatan pun di dunia ini. Apa yang kita analisis
mengenai puncanya itu hanyalah sebab musabbabnya sahaja.
Sidang
Jemaah Yang di Rahmati Allah,
Setiap perubahan yang berlaku di alam
ini mengandungi hikmah yang tersendiri. Begitu juga perubahan yang berlaku
kepada fenomena cuaca, sudah pastinya mengandungi hikmat yang tertentu,
antaranya memberi peringatan kepada hamba-Nya agar tidak melampaui batas dan sentiasa bermuhasabah.
Jika kita lihat di dalam al-Quran,
banyak menceritakan fenomena alam yang berlaku. Antaranya peristiwa banjir
besar, kemarau yang berpanjangan, gempa bumi, ribut taufan dan sebagainya. Benar,
semua fenomena alam ini menceritakan tentang kekuasaan Allah SWT dan mengajak
umat-Nya untuk berfikir dan merenung tentang hubungan antara seorang hamba
dengan tuhannya dan hubungan antara seorang manusia dengan alam tabii.
Oleh itu, marilah sama-sama kita
mengambil peringatan dan kembali melakukan muhasabah diri di atas tindakan dan
perbuatan kita selama ini. Firman Allah SWT di dalam surah al-Ankabut ayat 40:
Maksudnya: “Maka
masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang
Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan
dengan letusan suara yang menggemparkan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia
di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah
tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri
sendiri.”
Sidang
Jemaah Yang di Rahmati Allah,
Sesungguhnya
fenomena jerebu merupakan peringatan Allah SWT untuk seluruh manusia agar patuh
dan setia di atas perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya. Ia akan berlaku sepanjang zaman sebagai amaran
Allah SWT di atas segala ketelanjuran yang dilakukan oleh hamba-Nya.
Tidak syak lagi semua ini berlaku
kerana kedegilan manusia
terhadap penciptanya dan kejahatan tangan-tangan manusia sama ada
secara langsung atau tidak langsung ke atas bumi ciptaan Allah ini.
Firman Allah :
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ
بَعْضَ
الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ (41)
Maksudnya : Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat
dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia;
(timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari
balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka
kembali (insaf dan bertaubat).
Sidang
Jemaah Yang di Rahmati Allah,
Sebenarnya banyak lagi ujian yang
Allah boleh turunkan kepada kita sekiranya kita lari daripada petunjukNya, Hal
ini pernah Allah timpakan kepada Bani Israel. Bani Israel mencabar Nabi Musa,
malah mencabar Allah seperti penjelasan Al-Quran :
وَقَالُوا مَهْمَا تَأْتِنَا بِهِ مِنْ آَيَةٍ لِتَسْحَرَنَا
بِهَا فَمَا نَحْنُ لَكَ بِمُؤْمِنِينَ (132)
Dan mereka berkata: "Walau apa sahaja (jenis-jenis)
keterangan (mukjizat) yang engkau bawa kepada kami; (wahai Musa), untuk menjalankan
sihirmu kepada kami, maka kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu".
Inilah keangkuhan mereka. Apapun
hujjah,apa pun dalil dan bukti, mereka pasti akan menolaknya. Lalu Allah
berfirman dalam ayat berikutnya:
فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمُ الطُّوفَانَ وَالْجَرَادَ
وَالْقُمَّلَ وَالضَّفَادِعَ وَالدَّمَ آَيَاتٍ مُفَصَّلَاتٍ فَاسْتَكْبَرُوا وَكَانُوا
قَوْمًا مُجْرِمِينَ (133)
(Allah berfirman): Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan,
dan belalang, dan kutu, dan katak, dan darah, sebagai tanda-tanda dan bukti
yang jelas nyata, maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi
kaum yang menderhaka.
Menurut Ibnu Abbas ( الطُّوفَانَ)
ialah hujan lebat yang dapat menenggelamkan dan merosakkah segala tanaman
mereka. Manakalah ( َالْجَرَادَ ) belalang dinyatakan dalam Tafsir Ibnu
Kathir bukan sahaja memakan
tumbuh-tumbuhan mereka, malah memakan segala paku-paku pintu dan tingkap rumah
mereka yang menyebabkan rumah mereka hancur. Keadaan ini menyebabkan mereka
meminta Nabi musa a.s berdoa kepada Allah seperti yang dijelaskan dalam ayat
seterusnya:
وَلَمَّا وَقَعَ عَلَيْهِمُ الرِّجْزُ قَالُوا يَا
مُوسَى ادْعُ لَنَا رَبَّكَ بِمَا عَهِدَ عِنْدَكَ لَئِنْ كَشَفْتَ عَنَّا الرِّجْزَ
لَنُؤْمِنَنَّ لَكَ وَلَنُرْسِلَنَّ مَعَكَ بَنِي إِسْرَائِيلَ (134)
Dan apabila azab yang tersebut itu menimpa mereka, mereka
(merayu dengan) berkata: "Wahai Musa! Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk
kami dengan (kehormatan) pangkat Nabi yang diberikanNya kepadamu (yang
menjadikan permohonanmu sentiasa makbul). Sesungguhnya jika engkau hapuskan
azab itu daripada kami, tentulah kami akan beriman kepadamu, dan sudah tentu
kami akan membebaskan kaum Bani Israil (pergi) bersamamu".
Maka Nabu Musa a.s pun berdoa, lalu Allah maqbulkan doa baginda
dengan menghilangkan penderitaan tersebut. Firman Allah
فَلَمَّا كَشَفْنَا عَنْهُمُ الرِّجْزَ إِلَى أَجَلٍ
هُمْ بَالِغُوهُ إِذَا هُمْ يَنْكُثُونَ (135)
(Tuhan berfirman): Setelah Kami hapuskan azab itu daripada
mereka, hingga ke suatu masa yang tertentu yang mereka sampai kepadanya,
tiba-tiba mereka mencabuli janjinya.
Inilah sikap Bani Israel, apabila mereka
telah selamat dan selesa, mereka lupa janji mereka untuk beriman. Lalu Allah
mengirimkan kepada mereka (َالْقُمَّلَ
) kutu. Kutu-kutu itu berhamburan menghinggapi mereka, memenuhi makanan
dan rumah-rumah mereka sehingga mereka tidak dapat berbuat apa-apa. Lalu mereka
meminta lagi kepada Nabi Musa a.s. supaya memohon kepada Allah.
Apabila dihilangkan bala itu, mereka
lupa lagi janji mereka, lalu Allah hantar pula kepada mereka (وَالضَّفَادِعَ)
katak, sehingga disebut - dalam Tafsir ibnu kathir - bahawa tidak ada seorangpun yang membuka pakaian ataupun makanan melainkan di dalamnya sudah
terdapat katak telah memenuhinya. Apabila menghadapi situasi yang gawat seperti
ini, mereka minta lagi kepada Nabi Musa untuk diselamatkan. Namun apabila
keadaan pulih, sekali lagi mereka tidak beriman. Inilah sikap sombong dan degil
Bani Israel yang tidak ada tolok bandingnya. Lalu Allah membalas sikap buruk
mereka dengan menenggelamkan mereka di laut seperti mana firman Allah:
فَانْتَقَمْنَا مِنْهُمْ فَأَغْرَقْنَاهُمْ فِي
الْيَمِّ بِأَنَّهُمْ كَذَّبُوا بِآَيَاتِنَا وَكَانُوا عَنْهَا غَافِلِينَ (136)
Maka Kami pun membalas mereka, lalu Kami
menenggelamkan mereka di laut dengan sebab mereka mendustakan ayat-ayat Kami
dan mereka sentiasa lalai daripadanya.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Inilah secebis kisah yang dipaparkan
oleh Al Quranul karim untuk renungan kita . Jangan pula kita katakan bahawa ini
tidak ada kena mengena dengan kita! Ingatlah, walaupun kisah berlaku kepada
Bani Israel pada zaman Nabi Musa namun pengajarannya adalah untuk kita, umat
akhir zaman, umat Muhammad s.a.w.
وَلَوْ يُؤَاخِذُ اللَّهُ النَّاسَ بِمَا كَسَبُوا
مَا تَرَكَ عَلَى ظَهْرِهَا مِنْ دَابَّةٍ وَلَكِنْ يُؤَخِّرُهُمْ إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى
فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ بِعِبَادِهِ بَصِيرًا (45)