Friday 20 May 2011

Solat Kewajipan Utama

Dalam Surah Maryam ayat 59 Allah berfirman :

فَخَلَفَ مِنْ بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلاَة َوَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيَّا

Maksudnya :    Maka datanglah sesudah mereka pengganti yang mengabaikan solat dan mengikut hawa nafsunya. Maka mereka kelak akan menghadapi azab di dalam neraka.

Itulah secebis gambaran Al Quran terhadap golongan manusia yang akan mula melupakan Allah s.w.t. dengan mengabaikan satu tuntutan pengabdian makhluk kepada Khaliqnya. Tuntutan syahadatain ( 2 kalimah syahadah) tidak dijelmakan dengan perlakuan yang disyariatkan Allah. Mereka menjadikan hawa nafsu sebagai ikutan lalu mengabaikan solat fardu yang disyariatkan Allah . Akibatnya mereka dihumbankan Allah ke lembah kehinaan yang tidak ada tolok banding azabnya iaitulah neraka.

Satu kewajipan yang telah diketahui umum yang mempunyai dalil yang jelas daripada Al Quranul karim dan hadith Nabi s.a.w. serta kefarduannya disepakati oleh seluruh ulamak Islam ialah solat. Ungkapan “dirikanlah solat” atau ungkapan yang seumpamanya  diulang-ulang dalam Al Quranul Karim adalah dalil yang diterima dan tidak dipertikaikan ,  samada oleh ulamak Salaf atau Khalaf, kalangan para sahabat dan  imam-imam mujtahidin selepas itu, malah sampai ke zaman kita ini.

Orang yang mendirikan solat dianggap dia telah mendirikan satu asas agama yang utama, kerana ia adalah ibadat utama yang tidak boleh diatasi oleh ibadat-ibadat lain . Ibadat yang difardukan langsung kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. pada malam  Mikraj. Rasulullah s.a.w bersabda :
الصَّلاَةُ عِمَادُ الدِّيْنِ وَمَنْ أَقَامَهَا فَقَدْ أَقَامَ الدِّيْن وَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ هَدَمَ الدِّيْن
Maksudnya :    Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat sesungguhnya dia telah mendidikan agama, dan sesiapa yang meninggalkannya maka sesungguhnya dia telah meruntuhkan agama.

Solat adalah satu kewajipan, selama ruh dikandung badan. Selagi  akal masih siuman . Tidak ada alasan untuk kita meninggalkan solat . Sebab itu dalam Syariat Islam berbagai hukum, peraturan dan kaedah telah ditetapkan bagi mereka yang tidak mampu menunaikan solat dalam keadaan biasa

Bagi memastikan kewajipan ini dilaksanakan oleh umat Islam dalam situasi tertentu maka kita dibolehkan bertayammun. Bagi mereka yang tidak dapat solat secara biasa, dibolehkan mereka melakukan secara sambil duduk berbaring dan sebagainya . Semasa dalam perjalanan diharuskan kita menunaikan solat secara Jamak dan Qasar . Malah dalam suasana perang sekalipun, solat mesti ditunaikan dengan kaifiyyat yang tertentu.

Solat menjadi amalan pertama sekali yang akan dihisab oleh Allah s.w.t. Kesempurnaan solat yang ditunaikan akan menyelamatkan amalan-amalan kebaikan yang lain daripada ditolak begitu sahaja. Segala penat lelah semasa di dunia menjadi sia-sia . Begitulah besarnya kewajipan solat berbanding amalan-amalan lain. Rasulullah s.a.w bersabda :

أوَّلُ مَا يُحَاسَبُ بِهِ العَبْدُ يَوْمَ القِيَامَةِ الصَّلاَة، فَإِنْ صَلَحَتْ صَلَحَ سَائِرُ عَمَلِهِ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَسَدَ سَائِرُ عَمَلِهِ
Maksudnya :    Perkara pertama yang akan dihisab ke atas seseorang pada hari qiamat ialah solat. Apabila baik solatnya maka baiklah seluruh amalannya. Dan jika rosak maka rosaklah segala amalannya.
(HR. Tobarani)
            Solat yang sempurna dapat menjadi penangkis yang paling berkesan  menghindarkan seseorang daripada terjerumus ke lembah  maksiat dan mungkar . Solat yang didirikan dengan penuh keimanan dan ketaqwaan akan merubah personaliti seseorang menjadi insan yang tunduk kepada perintah Allah dan takut melakukan sebarang penyelewengan dalam kehidupan di dunia ini. Solat yang seumpama ini mampu menjadi ubat yang paling mujarab menyembuhkan berbagai penyakit sosial yang melanda umat pada hari ini.Firman Allah dalam Surah Al-Ankabut : 45

أَقِمِ الصَّلاَةَ إِنَّ الصَّلاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ

Maksudnya :    Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mencegah kamu daripada keburukan dan kemungkaran.


0 comments:

Post a Comment

Template by:
Free Blog Templates